*SaHaBaT-SaHaBaT AAC*

Wednesday, May 4, 2011

~SECANGKIR KASIH UNTUK DI URAI~...


Ya Allah...
Dengan menyebut nama-Mu Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...


Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semester alam yang telah menganugerahkan segala nikmat yang tidak terkira besarnya bagi hamba-hamba ciptaan-Nya termasuklah dua nikmat yang paling besar bagi orang Islam iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman. Tanpa keduanya siapalah kita di sisi-Nya. Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw serta ahli keluarga dan para sahabat baginda yang tercinta.

Alhamdulillah kini aku berkesempatan lagi untuk meneruskan lagi kisah hidup Hayatul Solehah yang kini meniti hidupnya dengan lebih matang setelah 5 tahun kehilangan ibu yang tercinta. Baginya walaupun dunia gelap tanpa kasih sayang ibu tercinta, ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang  di muka bumi Allah ini sebagai khalifah Allah untuk terus berjuang menegakkan agama Allah dan terus bangkit dari teus di buai mimpi. Baginya tiada sesuatu yang mustahil untuk dicapai di dalam dunia ini jika disertakan dengan usaha yang gigih untuk mendapatkannya.

Ikuti kisah hidup Hayatul Solehah yang terusnya.........

Pagi yang dingin cukup menyegarkan tubuh sesiapa sahaja yang masih terasa penat dek kerana letih dengan tugasan sehari-sehari biarpun bergelar pekerja mahupun pelajar, malah tidak asing juga bagi pelajar-pelajar yang masih di buai mimpi di kala matahari menjelma tiba. Perkara ini tidak asing lagi bagi semua remaja yang masih menuntut di kolej-kolej mahupun universiti jika tiada kuliah. Apa hendak di hairankan jika waktu malam sibuk menjadi 'kelawar' atau lebih di kenali lagi sebagai 'burung hantu'.

Burung-burung berkicauan dan tidak kurang juga yang keluar dari sarang untuk mencari makanan. Kedinginan pagi yang mendung diselubungi dengan awan yang berkemungkinan akan membawa hujan cukup menusuk hingga ke tulang.
" Rasa sedih dan dukacita itu fitrah manusia. Namun yang salah ialah apabila kita sedih dengan benda yang tidak perlu kita sedihkan. Sedih kerana tak dapat sesuatu, sedih kerana kehilangan sesuatu, sedih kerana tak dapat mengejar dunia, sedih kerana tak dapat berhibur, sedih kerana orang yang kita sayang telah hilang.

Perkara tersebut tidak perlu kita sedihkan. Namun kita sepatutnya sedih apabila kita kehilangan iman, kita kehilangan petunjuk atau hidayah Allah swt. Ketahuilah bahawa setiap apa yang kita lalui dalam bentuk musibah adalah ujian. Dan ujian itu untuk mengangkat martabat kita...."

Tiba-tiba buku "JANGAN BERSEDIH " yang di pegang oleh Hayatul Solehah terjatuh dari tangannya membuatkan Hayatul Solehah tersedar dari lamunan yang panjang selepas menghabiskan bacaan baris-baris terakhir dari buku tersebut.

Hatinya terdetik " Ya Allah, apa yang dah aku buat selama ni?? Adakah aku menolak takdir-Mu atas segala ujian yang telah engkau tetapkan untuk hidupku? Adakah aku hamba-Mu yang tidak tahu bersyukur di atas segala nikmat yang telah Kau kurniakan walaupun untuk seketika cuma? Adakah aku lupa segala nikmat yang telah engkau pinjamkan kepadaku adalah hak milik-Mu? Lupakah aku, Ya Allah??! "

Airmata terus bercucuran ke pipi kerana rasa berdosanya dirinya terhadap sang Pencipta.

Kini Hayatul Solehah di uji sekali lagi dengan kehilangan seorang sahabat yang selama ini telah banyak  mengajarnya erti sebuah kehidupan yang sebenarnya dan mengajar dirinya lebih matang lagi dalam menghadapi segala ujian yang telah di tetapkan oleh Allah swt.

Kepulangan sahabatnya ke rahmatullah cukup membuatkan dirinya merasakan satu kehilangan yang besar.
Hayatul Solehah teringat akan kisah ketika seorang sahabat bertanya Rasulullah saw : "Siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik bagi kami ?
Jawabnya, "Seseorang yang apabila kamu dengari percakapannya, pengetahuan kamu tentang Islam bertambah, apabila kamu melihat kelakuannya, kamu teringat kepada kehidupan akhirat."


Ya Allah........aku cukup teruji dengan semua dugaan ini ya Allah... Kuatkan aku ya Allah. Sahabat, kau sentiasa di ingatanku" bisik hati Hayatul Solehah sambil melangkahkan kakinya ke bilik air untuk mengambil wuduk lalu menunaikan solat sunat Dhuha sekaligus membuat sedikit tahlil untuk arwah ibunya dan tidak lupa juga untuk sahabatnya. Baginya itu sahajalah cara untuk mengubati rindunya. Kebetulan pula pada hari itu Hayatul Solehah tiada kelas pada waktu pagi kerana pensyarahnya sibuk menguruskan kerja di luar kolej.

             **********************************************************
Ketika di pejabat . . .

"Assalamualaikum, ustazah" sapa Hayatul Solehah.
"Wa'alaikumussalam, Hayatul Solehah" jawab ustazah Musfirah ringkas.
"Errr.. Ustazah sibuk tak sekarang? Boleh ana jumpa ustazah sebentar?" tanya Hayatul Solehah teragak-agak.
"InsyaAllah ustazah tak sibuk sekarang. Jom ke bilik ustazah, ustazah pun ada benda nak bercakap dengan enti" jawab ustazah Musfirah.
"Sila duduk Hayatul Solehah" kata ustazah Musfirah sambil menarik kerusi untuk duduk.
"Terima kasih, ustazah"

Keadaan senyi seketika. Hayatul Solehah tiba-tiba kaku untuk berkata-kata.

"Hayatul Solehah, enti ada masalah ya? Ustazah tengok enti sekarang tidak seceria dulu dalam kelas. Kalau dulu enti sentiasa ceria dan seorang yang suka menegur orang lain, sekarang enti dah banyak berubah. Enti banyak membawa diri jauh dari sahabat-sahabat yang lain dan enti sentiasa mengelamun ketika waktu kuliah."

Tanpa berkata apa-apa, mutiara jernih Hayatul Solehah mula jatuh membasahi pipi tanpa perlu di pinta untuk keluar. Hayatul Solehah sememang seorang yang agak sensitif orangnya dan seringkali kalah dalam melawan perasaannya sendiri dan seringkali juga kalah dengan airmata. Apabila ada seseorang ingin menyentuh kisah hidupnya yang dirasakan pahit baginya untuk di lalui, airmatalah yang sentiasa menemaninya di kala itu.

"Enti sebagai seorang kakak kepada adik-adik enti, enti kena sentiasa kuat di hadapan mereka. Kalau enti lemah di hadapan mereka, mereka akan lagi lemah. Enti kena kuat semangat." sambung ustazah Musfirah lagi.
"Ana.....Ana tak kuat lagi ustazah" jawab Hayatul Solehah dengan linangan airmatanya itu.
"Hayatul Solehah, bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah? Hidup kita berdepan dengan masalah. Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidak layak untuk hidup di dunia ini. Masalah yang besar yang tetap akan kita hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu."kata ustazah Musfirah lagi.


Kata-kata ustazah Musfrah seperti satu tamparan yang hebat pada diri Hayatul Solehah dan membuatkan Hayatul Solehah tersedar dari kekusutan yang sentiasa menghantui dirinya. Baginya hidupnya sudah gelap tanpa pendamping yang setia mendengarkan segala masalah hatinya itu setelah kehilangan ibu tercinta, sekarang sahabat rapatnya pula pergi menghadap Illahi.

   ********************************************************
Hayatul Solehah segera mengatur langkahnya menuju ke masjid. Masjidlah tempat yang sering dikunjunginya hampir setiap waktu. Bagi Hayatul Solehah, dia sudah jatuh cinta di tempat itu dan tempat itu juga dapat menenangkan fikirannya. Lantas Hayatul Solehah membuka tafsir birunya yang sentiasa menjadi temannya ke mana sahaja dan membaca beberapa muka surat ayat-ayat yang berisi kalam Allah sambil merenung maknanya. Usai membaca, Hayatul Solehah berhajat untuk tidur Qailulah atau dengan bahasa mudah untuk di fahami ialah tidur sejenak sebelum solat Zohor.

 Tidur yang dimaksudkan ialah tidur sebentar di waktu tengahari sebelum masuk waktu Zohor. Tidur ini tidak memerlukan masa yang panjang. Memadai sekadar 10 hingga 15 minit, ia sudah cukup memberi kekuatan dan kesegaran pada tubuh badan, malah ia juga menjadi rahsia badan cergas di malam hari untuk seseorang muslim bangun bertahajjud. Tidur ini menjadi kebiasaan kepada sesetengah individu yang mementingkan kesihatan, produktiviti dan kesegaran. Amalan ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang telah diiktiraf oleh ahli sains di zaman ini.

Kitab ‘Misykatul Masabih’ menyebut salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi,

“Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah saw ada melakukannya.”

************************************************************
Ya Allah..
Jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu agar bertambah kekuatanku untuk menyintaimu...
Ya Muhaimin..
Jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinyatertaut padamu agar aku tidak terjatuh dalam jurang cinta nafsu...
Ya Rabbana..
Jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hati-Mu...
Ya Rabbul 'Izati..
Jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu...
Ya Allah..
Jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam ini, malam terakhir-Mu...
Ya Allah..
Jika aku jatuh hati pada kekasihmu, jangan biarkan aku tertatih dan tejatuh dalam perjalanan panjang menyeru menusia kepada-Mu...
Ya Allah..
Jika Kau halalkan aku merindui kekasihmu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu...
Amin ya Allah...

Begitulah doa Hayatul Solehah seusainya menunaikan solat sunat Tahajud di sepertiga malam itu. Lalu Hayatul Solehah tertidur di atas sejadah usangnya itu.


************************************************************

Seusainya Hayatul Solehah menghabiskan bacaan Mathurat pada pagi itu, tangannya memetik satu lagu dari laptopnya. 

"SATU CINTA"
Bait-bait liriknya menusuk hingga ke hati Hayatul Solehah.
"Cintakan Allah kekal selama-lamanya"... bisik hati Hayatul Solehah.

Lalu di biarkan pula lagu Muhasabah Cinta berkumandang tetapi fikiran Hayatul Solehah jauh terbang melayang perasaan sendiri...


"Ya Allah, jagalah hati aku hanya untuk-Mu Ya Allah, jauhkanlah rasa cintaku pada makhluk-Mu yang bergelar manusia andai ianya boleh membawaku lalai kepada-Mu dan selagi mana aku belum menemui cinta-Mu yang hakiki Ya Allah".

Hatinya sentiasa berdoa agar hatinya tidak jatuh ke lembah cinta manusia buat masa ini sehingga benar-benar ia bertemu cinta Allah yang hakiki. Bagi Hayatul Solehah memang mudah mengungkapkan kata cinta, tetapi sukar untuk di praktikkan. Cinta yang sebenar hanya cinta kepada Allah dan Rasul.


Hayatul Solehah sememangnya di kenali dengan sifatnya yang menjaga adab pergaulannya dengan muslimin walaupun hakikatnya Hayatul Solehah pernah di kecewakan dalam ikatan pertunangannya selama 2 tahun, akan tetapi hatinya masih teguh untuk terus tabah menghadapi segala ujian hidup. 

Bukan niatnya untuk bercinta atau sebaliknya, tujuan ikatan yang di bina itu adalah kerana baginya perkahwinan adalah salah satu jalan yang di redhai oleh Allah dan harapannya adalah satu iaitu menginginkan ada satu pertalian yang halal dengan suami sebagai peganti kasih ibu yang sekian lama hilang. Hayatul Solehah sememangnya merindui kasih seorang ibu dan kasih seseorang yang dapat menemaninya kemana sahaja serta teman untuk di ajak berbicara dan bergurau senda. 

"Mak, Hayatul sunyi sangat tanpa mak selama ini, Hayatul rindukan mak!" tiba-tiba Hayatul Solehah bersuara memecah kesunyian yang sekian lama sunyi setelah lagu yang dipasangnya habis. 

Airmatanya mula bercucuran lagi. Segera Hayatul Solehah menyapu airmatanya itu dan menghadiahkan sekalung Al-Fatihah buat ibunya.

"Semoga mak tenang di sana", bisik hati kecilnya.


*************************************************************
Sudah hampir dua bulan rupanya pemergiaan sahabatnya. Hayatul Solehah mula mengingati kembali perjalanannya ke rumah Allahyarham sahabatnya itu dan tanpa di sedarinya perjalanan yang mengambil masa hampir satu jam setengah untuk ke Kuala Terengganu itu telah berjaya menjalinkan satu ikatan ukhwah antara ukhti Qurratul Ain dan ukhti Anis. Begitu manis berukhwah apabila bertemu dan berpisah kerana Allah. Dalam mengambil masa yang singkat untuk berkenalan, ukhwah tersebut masih lagi terjalin sehingga hari ini. Hayatul Solehah masih lagi berhubung dengan mereka walaupun perantaranya hanya telefon untuk bertanyakan khabar. Pertemua mereka berempat adalah satu suratan takdir Allah.

"Tapi............................. Mengapa ukhwah ini terbina setelah sahabatku pergi meninggalkan aku??" 
Tiba-tiba persoalan ini bermain di fikiran Hayatul Solehah. Fikirannya runsing kembali apabila mengenangkan kembali semua yang terjadi. Begitu pantas masa berlalu. 
"Aku pasti segala ketentuan Allah yang telah Allah tetapkan adalah satu suratan yang terbaik bagi diriku. Setiap yang terjadi pasti ada hikmah-Nya yang tersurat mahupun tersirat" bisiknya.

Sesampainya Hayatul Solehah ke Kuala Terengganu dengan menaiki bas bersama ukhti Anis bersama seorang lagi sahabat yang menemaninya, kami dijemput oleh ukhti Qurratul Ain yang jauh datangnya dari Kuala Lumpur bersama sahabatnya. Kami meneruskan perjalanan ke kampung Allahyarham dengan di jemput oleh seorang 'pemuda' untuk menunjukkan jalan ke rumah Allahyarham. 

Alhamdulillah usai menziarahi keluarga dan pusara Allahyarham, Hayatul Solehah bersama ukhti Anis dan sahabatnya bergegas ke perhentian bas untuk pulang.

Malamnya seperti biasa, habis menunaikan solat Isyak, Hayatul Solehah bertemankan laptop usangnya sambil membelek-belek facebooknya yang sekian lama tidak tersentuh disebabkan kesibukan yang melampau. Kepulangan Hayatul Solehah ke kampung halaman di hujung minggu kerana dua sebab, salah satunya kerana ingin menziarahi pusara Allahyarham dan sebab yang kedua adalah untuk bertemu ayah dan adik-adiknya yang sekian lama tidak bersua muka. Rindunya Hayatul Solehah pada adik-adiknya dan ayah tidak dapat di ungkap dengan kata-kata sama juga seperti rindu seorang anak kepada ibunya.

"Assalamualaikum, awak ni Hayatul Solehah kan?"tiba-tiba teguran ini di bahagian chatting facebook muncul tanpa Hayatul Solehah mengetahui siapa pemiliknya.
"Wa'alaikumussalam, ya ana Hayatul Solehah. Man enta? teragak-agak Hayatul Solehah membalas mesej dari seorang pemuda itu.
"Saya Ahmad. Ingat saya lagi? Tadi baru berjumpa awak di Kuala Terengganu"
"Ooo enta pemuda yang tolong kami tunjukkan jalan ke rumah Allahyarham tu kan? Ada apa boleh ana bantu ke?" tanya Hayatul Solehah ingin tahu.
"Tak ada apa-apa,cuma saja menegur awak tanda ukhwah fillah" jawabnya
"Ooo ok, ukhwah fillah. Wasalam." jawab Hayatul Solehah ringkas tanpa ingin berbicara panjang.

Itulah kali pertamanya Hayatul Solehah berbicara melalui mesej dengan pemuda itu walaupun ketika di rumah Allahyarham dan di pusara lagi masing-masing tidak bertegur siapa antara satu sama lain. Hayatul Solehah segera melupakan kisah pemuda tersebut sambil melayan lagu sehingga terlelap di meja.

*************************************************************
Tuttttttt...tuttt..tut...
"Assalamualaikum. Kepada semua anak-anak buahku, petang ini akan di adakan satu perjumpaan di tempat biasa pada jam 5.30 petang. Kehadiran anda adalah di wajibkan."

Satu mesej pesanan ringkas masuk dan Hayatul Solehah kenal sangat siapa penghantarnya, Kassim. Kassim ialah seorang muslimin yang baru di kenalinya selama 5 bulan yang lalu secara tidak sengaja di sebuah tempat sewaktu mengikuti salah satu program kolej. Keakraban persahabatan mula terjalin setelah Hayatul Solehah bekerjasama dengannya.

Memang tidak dapat di nafikan, Kassim seorang yang mudah mesra dengan semua orang lelaki mahupun perempuan dan dia terkenal dengan sikapnya tidak sombong dan mudah menyapa sesiapa sahaja. Tidak hairanlah jika dia mempunyai ramai kawan lelaki mahupun perempuan.Di sebabkan sikapnya itu membuatkan Hayatul Solehah senang untuk bekerjasama dengannya walaupun Hayatul Solehah terkenal dengan sifatnya yang pemalu dan pendiam sejak azali lagi. Mungkin Kassim adalah orang yang pertama membuka pintu hati Hayatul Solehah untuk bergaul dengan muslimin atas urusan kerja seperti sahabat-sahabatnya yang lain. Dulunya Hayatul Solehah terkenal dengan sikapnya yang susah di ajak berbincang terutamanya dengan muslimin walaupun untuk urusan penting.

"Hai, jam berapa dah ni mek weyh!" tanya Kassim
"Sory-sory ana lambat, trafic jam la tadi" tercunggap-cunggap Hayatul Solehah menjawab.
"Pandailah awak buat lawak ya" balas Kassim tersenyum

Hayatul Solehah tidak sengaja untuk lambat datang ke perjumpaan tersebut, tetapi kerana dia terlelap seketika selesai menghabiskan bacaan Mathuratnya itu selepas solat Asar berjemaah di masjid.


Persahabatan yang terjalin antara Hayatul Solehah dengan Kassim semakin hari semakin rapat. Sikapnya yang mudah mesra membuatkan Hayatul Solehah senang untuk berkomunikasi malah kadang-kadang saling menjadi pendengar setia ketika menghadapi masalah.

"Awak tahu Hayatul, ibu saya dah sukakan seseorang." balas Kassim ketika asyik berbual-bual melalui khidmat pesanan ringkas.
"Hah?? Tak tahu pun. Siapa orang yang bertuah tu? Kenalkan la kat ana." balas Hayatul Solehah sambil memikirkan kata-kata Kassim yang penuh tersirat itu.
"Saya gelarkan si dia sebagai 'pelangi'. Ibu saya kata nak jumpa pelangi ni susah sangat sebab pelangi akan muncul kadang-kadang je tapi bila dah muncul indah sangat. Tapi awak tahu Hayatul, ibu saya selalu cakap, nak jumpa pelangi pun susah macam nak cari madu tau" balas Kassim.
"Oooo yeke? Enta ni banyak sangat la bahasa berbunga-bunga. Ana jadi makin pening. Kalau enta terus terang saja, apalah salahnya."balas Hayatul Solehah.
"Takpela, satu hari nanti awak pasti akan faham" balas Kassim.
"Takpela kalau macam tu,insyaAllah" balas Hayatul Solehah lagi.

 
************************************************************
Dua bulan berlalu. Pejam celik, pejam celik pelajar-pelajar kolej sedang sibuk menyiapkan diri untuk menghadapi final exam bagi semester akhir. Hayatul Solehah tidak kurang sibuknya berulang-alik dari asrama ke masjid untuk mengulangkaji di masjid. Berbeza dengan pelajar lain yang sibuk berulang-alik ke perpustakaan, tetapi Hayatul Solehah sibuk ke masjid. Baginya masjid sahajalah tempat yang mudah untuk mengulangkaji matapelajaran.

Kini... Ahmad kembali memunculkan diri setelah dua bulan membawa haluan tanpa berita. Deringan lagu sifat mahmudah yang di popularkan oleh kumpulan nasyid Hijjaz mengejutkan Hayatul Solehah yang sedang tekun mengulangkaji matapelajaran minta di jawab panggilan tersebut.

"Siapa pula ni? Nombor ni tak de dalam list phone aku pun." bisik Hayatul Solehah sendiri.

Hayatul Solehah termenung sejenak setelah usai berbual dengan pemilik nombor yang tidak di kenalinya.

"Ahmad? Melamar?? Aku ke? Dia lamar aku ke tadi? Ke aku mimpi ni?" tanya Hayatul Solehah sambil menepuk-nepuk mukanya.
"Tapi Kassim macam mana pula?" tiba-tiba wajah Kassim terbayang di kepala Hayatul Solehah.
"Tapi kenapa aku fikirkan Kassim pula? Aku ada hati ke kat dia tu? Ish..tak mungkin la. Diakan dah ada pilihan hati sendiri,iaitu pilihan ibunya. Kenapa pula aku nak terlibat dalam hal dia pula? Haraplah aku tak de perasaan kat Kassim tu" bisik hati Hayatul Solehah.

"Assalamualaikum, Kassim. Enta sibuk ke tu? Maaflah kalau ana ganggu petang-petang ni" sapa Hayatul Solehah.
"Wa'alaikumussalam, eh tak sibuk pun. Biasala petang-petang ni rehat-rehat jela. Ada apa Hayatul awak call saya ni? tanya Kassim ingin tahu.
"Ooo tak de apa pun Kassim. Saja la call enta ni. Tak boleh ke? tanya Hayatul Solehah kembali.
"Eh boleh je. Hayatul punya pasal, semua boleh. Hehehe" Kassim berseloroh sambil ketawa.
"Ish enta ni, dah-dah. Jangan mengarutlah. Ana ada benda nak bagitahu enta ni sebenarnya." kata Hayatul.
"Ooo kenapa tak cakap awal-awal. Apa dia Hayatul? Cakaplah" jawab Kassim lagi.
"Macam ni, semalam ada seorang pemuda melamar ana. Enta rasa macam mana?" kata Hayatul Solehah.
"Errr..Hah?? Melamar? Ssssiapa?" tanya Kassim teragak-agak.
"Eh, mana boleh bagitahu. Enta kan dah ada pilihan ibu enta sendiri. Enta pun tak nak kenalkan kat ana, ana pun kena buat macam tu juga la,hehehe." jawab Hayatul Solehah sambil ketawa kecil.
"Ish awak ni Hayatul,jawab la soalan saya ni" kata Kassim sedikit serius.
"Laa kenapa pula dengan enta ni? Serius semacam je?" tanya Hayatul Solehah.
"Tak de apa la Hayatul. Ooo ada pemuda melamar awak ye. Bagusla macam tu. Awak terima dia ke?"tanya Kassim.
"Laa ni la pasal ana call enta, ana nak tanya enta la ni. Apa pendapat enta?" tanya Hayatul Solehah kembali.
"Pendapat saya? Errr... Saya tak tahu, ini kan hidup awak. Awak buat la keputusan yang tepat. Apa kata kalau awak istikharah dulu?" jawab Kassim.
"Iye tak iye juga kan? Betul kata enta tu" Kenapalah ana tak terfikir benda ni." jawab Hayatul Solehah.
"Err...Hayatul. Saya sebenarnya ada benda juga nak sampaikan pada awak ni" kata Kassim sedikit kaku.
"Ye. Cakapla, apa dia?" tanya Hayatul Solehah.
"Sebenarnya saya nak terus terang dengan awak ni. Tapi saya tak berani sebenarnya. Sebenarnya pilihan ibu saya tu adalah awak" jawab Kassim dengan berani.
"Ha????" Hayatul Solehah terkejut.
"Errr...Enta ni nak bergurau pun berpada-padalah. Benda macam ni ana tak suka di buat bergurau tau." kata Hayatul Solehah sedikit tegas.
"Betul Hayatul, saya tak bergurau. Saya dah lama nak cakap hal ni, tapi saya tak berani. Tapi bila awak kata ada orang melamar awak, saya terpaksa la terus terang." jawab Kassim lagi.
"Tapi kenapa enta baru bagitahu sekarang? Kenapa bukan dulu?" tanya Hayatul Solehah sedikit perlahan suaranya.
"Saya bukan tak nak cakap dari dulu, tapi belum masanya yang sesuai." jawab Kassim
"Tak mengapalah kalau macam tu, ana dah tak tahu nak jawab macam mana lagi. Ana kena istikharah benda ni, benda ni bukan hal main-main. Ok la ya Kassim, assalamualaikum" jawab Hayatul Solehah.
"Ok baiklah. Wa'alaikumussalam" jawab Kassim sebelum mematikan telefon.


"Ya Allah... Kenapa ya hal macam ni boleh menghantui diriku? Kenapa hal seperti ini begitu cepat ianya terjadi?" bisik hati Hayatul Solehah sedikit sedih.

"Istikharah Cinta" bisik hati kecilnya...



Yang di cari walau bukan putera raja, biarlah putera agama.
Yang diimpi, biarlah tak punya rupa asal sedap dipandang mata.
Yang dinilai bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat rohani dan hati.
Yang diharapkan bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat.
Yang datang tidak perlu rijal yang gemilang, kerana diri ini serikandi dengan silam yang kelam.
Yang dinanti bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia.
Dan yang akan terjadi, andai tidak sama dengan kehendak hati,insyaAllah ku redha ketetapan Illahi...



Lalu Hayatul Solehah tertidur dengan diarinya yang setia berdamping dengannya setiap hari. Diarilah tempat Hayatul Solehah meluahkan segala isi hatinya selama ini...

Siapa pilihan hati Hayatul Solehah??

*******************************************************************


Ikuti kisah Hayatul Solehah seterusnya yang akan datang....



Wallahua'alam. . . . . .

3 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Allahuakbar.. Tak tahu nak kata apa bila membaca ruangan ini.. Penulisan yang datang dari hati! Allah...~

    Apapun, blog awk semakin cantik dan kemas!
    Ditambah lagi dengan berlatarkan pelangi.. Allah..~

    Semoga awk sentiasa sihat dan berada dalam naungan rahmat-Nya...

    Senyumlah...
    Dunia pasti tersenyum bersamamu...~
    (^_^)

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam...

    Alhamdulillah sepanjang hari menghadap ini saja utk menghilangkan rasa kesunyian dan kesepian selama 3 hari...

    Berjaya mengubahsuai segala apa yang perlu...

    Alhamdulillah...

    Dan pengubahsuaian ini di buat khas utk seseorang pada mulanya...

    Tapi..

    Apakan dayanya...
    Allah maha mengetahui segalanya...
    InsyaAllah bertukar khas utk diri sendiri...

    InsyaAllah...

    Wallahu'alam...

    MUJAHIDAH MEMBURU SYAHIDAH
    (",)

    ReplyDelete
  3. aku suka sekali dgn tulisanmu wahai hamba Allah.

    ReplyDelete